Rabu, 14 Disember 2011

Home » , , » Bakti pada anak-anak tercicir persekolahan

Bakti pada anak-anak tercicir persekolahan




Salam bahagia,

Sangat tersentuh hati bila membaca artikel ini...bergetar rasa dalam jiwa. Ramai rupanya orang kita yang hidup miskin daif, makan pun tak menentu.. apatah lagi pelajaran anak-anak.. Semoga lebih ramai lagi insan-insan berhati mulia yang sanggup menyemai bakti membantu anak-anak yang keciciran ini. Sudah lah miskin, ada yang tiada bapa @ ibu, miskin pula dengan kasih sayang, semoga mereka tidak miskin ilmu agama.






Menyemai bakti untuk anak tercicir


KETIKA anak lain ke sekolah agama, Udin (bukan nama sebenar) leka bermain. Sesekali matanya merenung ke arah sekolah. Ada perasaan sayu dan pilu dalam hatinya.

Dia sememangnya teringin untuk belajar di sekolah agama itu tetapi apakan daya, ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah. Meskipun jumlahnya hanyalah RM20 sebulan. Makan mereka pun atas belas ehsan jiran.

RM20! Nilai wang yang bagi sesetengah orang boleh dihabiskan untuk sekali makan! Ada kalanya Udin berjalan mengelilingi pagar sekolah yang sebahagiannya sudah tumbang akibat perbuatan khianat mereka yang tidak bertanggungjawab menceroboh ke kawasan sekolah.

Dia seronok mendengar suara kanak-kanak mengulangi ungkapan kata ustazah dan ustaz. Ingatannya singgah kepada ibu, ibu yang sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser rahim.
Ayah? Ayahnya sudah lama meninggal dunia.

Seperti Udin, kakak dan abangnya juga tidak bersekolah kerana kesempitan hidup!

Lain pula kisah Mail (bukan nama sebenar).

Dia dan abangnya pernah ditangkap kerana mencuri meja sekolah. Bahagian besi meja itu dijual kepada pembeli barang lusuh.

Hasil jualan RM3 itu digunakan untuk membeli makanan. Mereka mencuri kerana lapar. Ibu Mail masih hidup tetapi sudah lama keluar rumah, meninggalkan dia dan adik beradiknya yang lain.

Tinggal ayahnya sebagai bapa tunggal yang menyara kehidupan anaknya yang lima orang itu dengan menjaja secara kecil-kecilan.

Mail hanya ke sekolah agama kerana tiada surat beranak untuk ke sekolah kebangsaan. Abangnya juga tidak mempunyai surat beranak.

Kakaknya tidak bersekolah kerana perlu menjaga adik-adiknya apabila bapa keluar mencari rezeki.

Anak yang dikenali sebagai Man (bukan nama sebenar) ini pula terpaksa berhenti sekolah. Ibunya tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak RM20.

Ayah? Ayah sudah berkahwin lagi. Walaupun ayah ada memberi wang kepada ibunya tetapi jumlah yang diberi tidak cukup untuk menampung keperluan kehidupan mereka.

Ibu Man pula hanya mampu menjaga anak orang untuk menambah pendapatan bagi kelangsungan hidupnya dan enam orang anaknya.

Atas keprihatinan pihak sekolah, Man dibenarkan meneruskan persekolahan walaupun tidak dapat membayar yuran.
Kesusahan hidup yang dilalui Udin, Mail dan Man ini hanyalah secebis daripada kehidupan berliku anak yang belajar di Kafa (Kelas Al Quran dan Fardu Ain) Integrasi Al-Insaniah, Jalan PJU 1A/42, Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling Jaya.

Keprihatinan pihak sekolah membolehkan Udin, Mail dan Man menjadi murid di KAFA itu.

Cuma Udin sempat belajar hanya beberapa bulan sahaja. Dia dan adik-beradiknya diberitakan sudah balik ke kampung di Kelantan setelah ibu mereka meninggal dunia.

Mungkin ada ramai lagi anak yang menyimpan kisah pahit dan duka kehidupan mereka di sebalik wajah-wajah yang redup dan tubuh yang lesu.

Kebanyakan anak ini datang dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mempunyai adik-beradik yang ramai.
Lantas ada antara anak ini yang datang ke sekolah agama dengan perut kosong seperti yang diberitahu Ustazah Norazainah Adnan dan Ustazah Siti Hawa Sharif, pengasas Kafa Integrasi Al-Insaniah.

Pihak sekolah sememangnya membantu mereka yang benar-benar memerlukan dengan mengecualikan mereka daripada bayaran yuran di samping makanan tambahan.

Bagaimanapun, kewangan yang terhad membolehkan hanya 70 orang sahaja setakat ini menerima makanan tengah hari yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM2,100 sebulan.

Ustazah Norazainah mempunyai pengalaman sekitar 14 tahun sebagai guru tadika sementara Ustazah Siti Hawa pula telah menjadi guru agama selama kira-kira 15 tahun.

Sebelum penubuhan Kafa ini, mereka berdua mengambil inisiatif mengadakan kelas agama di surau Insaniah Blok D PPRT (Program Pembangunan Rakyat Termiskin) Taman Putra Damai.

Ustazah Norazainah ketika itu menyandang jawatan Ketua Muslimah Jawatankuasa surau Insaniah.
Kelas agama yang menampung kira-kira 90 pelajar itu diadakan di surau berkenaan selama dua tahun mulai 2001. 

Pada 15 Jan, 2003, Kafa Integrasi Al-Insaniah dibuka di lokasi yang ada sekarang.

Meskipun saiz sekolah itu kecil, sesi persekolahan pertama menerima 500 murid. Sekolah ketika itu mempunyai hanya lima buah kelas, pejabat dan kantin. Pelajar diajar antaranya mata pelajaran Al-Quran, Feqah, Tauhid, Bahasa Arab, Akhlak dan Tulisan Jawi.

Rasa Belas Ustazah Norazainah bukan setakat menjadi pengasas dan kemudiannya mengajar di Kafa Al-Insaniah.
Naluri seorang ibu menjadikan beliau begitu mengambil berat agar anak di PPRT Taman Putra Damai tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan agama.

Setiap kali melihat ada anak yang bermain di luar kawasan sekolah pasti dia akan bertanya mengapa mereka tidak datang ke sekolah agama itu.

Tidak cukup dengan alasan yang diberikan, dia akan menyusul pula ke rumah untuk menggalakkan ibu bapa berkenaan menghantar anak ke sekolah.

Alasan yang sering singgah di cuping telingnya ialah tidak ada wang untuk membayar yuran sekolah.

"Saya akan memberitahu mereka hantar dulu anak ke sekolah dan soal kewangan boleh dibincang kemudian.

"Saya susah hati, saya bimbang sekiranya anak ini tidak dibekalkan dengan pendidikan agama, ini akan merosakkan diri mereka kelak," Ustazah Norazainah yang juga naib-pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Kafa Al-Insaniah memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.







Kafa Al-insaniah

KAFA Integrasi Al-Insaniah kini mempunyai 450 murid. Seramai 25 orang belajar pada sesi pagi sementara bakinya belajar pada sesi petang.

Anak ini kebanyakannya berasal dari kawasan setinggan Taman Medan, Kampung Cempaka, Kampung Kayu Ara dan Kampung Sentosa yang terletak di sekitar kawasan Petaling Jaya.

"Ada yang mempunyai ibu atau ayah sahaja. Ada yang emak bekerja di kilang, ayah berniaga sendiri atau bekerja sebagai buruh. Ada juga emak yang hanya suri rumah.

"Ada juga yang emak sahaja bekerja. Rata-rata mereka berpendapatan rendah. Ada yang mempunyai anak lapan hingga 12 orang," kata Ustazah Norazainah.

Ustazah Norazainah berkata, 30 daripada 40 murid dalam satu daripada Darjah Dua beliau adalah murid yang ibu bapa mereka sudah bercerai atau ibu tunggal setelah suami meninggal dunia. — BERNAMA





..


Terima kasih singgah ke blog Kakyong. Jemput singgah ke IG Sihat.Gojes.Cerdas.Pintar , Blog Stokis Qaseh Gold Ipoh dan FB Kakyong HY


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...